(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;
(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;
(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;
5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);
(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;
(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;
(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;
(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;
(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;
(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;
dan
(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaula
Seelok-eloknya saya merentet kembali 4 peristiwa besar yang melibatkan salah laku kotor dan busuk oleh Rejim Zionis. Pertama, sebermula lebih 60 tahun yang lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri.
Seawal tragedi Naqbat tahun 1948, penduduk Palestin telah dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel yang telah buat pertama kali ketika itu memperkenalkan terorisma sebagai kaedah untuk mencapai matlamat mereka.
Kedua, sekitar akhir tahun 60-an, selepas apa yang digelar peperangan enam hari, di atas tanah-tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan pula penempatan-penempatan haram tanpa rasa bersalah atau segan silu. Kemudiannya, peristiwa ketiga pada tahun 1982, tentu tidak dapat dilupakan yakni tragedi pembantaian ganas ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa di kem pelarian Shabra dan Shatila.
Keempatnya pula, saya yakin masih segar dalam ingatan ramai, akan serangan ketenteraan Rejim Zionis ke atas Wilayah Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua.
Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang melangkaui kepercayaan agama, melibatkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan. Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar bencana kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini, dapat dihentikan dengan serta-merta.

No comments:
Post a Comment